- cara kurus
- kolesterol tinggi
- kurus
- makan kurus
- makan tapi kurus
- penyakit 3 serangkai
- petua turunkan kolesterol
- tips makan tapi kurus
Badan Kurus Je Tapi Kenapa Kolesterol Tinggi?
Mengikut statistik, hampir separuh atau 4 dari 10 orang dewasa di Malaysia mempunyai masalah kolesterol tinggi. Namun, 30-40% daripada mereka tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai masalah kolesterol tinggi.
Tahukah anda, 45% pengidap kolesterol tinggi adalah wanita manakala lelaki hanya 32% sahaja? Paling menarik, 20-25% daripada pengidap kolesterol tinggi ini sebenarnya adalah mereka yang berbadan kurus!
Ramai mengelak mengambil sesetengah makanan kerana katanya tinggi kandungan kolesterol.
Tetapi adakah kolesterol itu sebenarnya lemak? Ataupun bukan?
Lemak termasuk dalam salah satu kategori makronutrisi selain daripada karbohidrat dan protein yang diperlukan oleh badan dan datang dalam bentuk makanan. Manakala kolesterol pula adalah nutrisi yang boleh didapati di dalam makanan berlemak.
75% kolesterol akan dihasilkan semulajadi didalam hati dan hanya 25% sahaja kolesterol akan dihasilkan oleh badan daripada makanan.
Walaupun begitu, kenapa kita masih mengatakan kolesterol berbahaya sedangkan hati manusia sendiri menghasilkan lebih banyak kolesterol?
- Badan manusia mempunyai struktur yang terhasil daripada hampir 37.3 trillion sel yang diperbuat oleh kolesterol. Tanpa kolesterol yang mencukupi ini, sel badan tidak dapat dihasilkan secukupnya dan fungsi badan akan terjejas.
- Vitamin D semakin popular kini kerana terbukti mampu meningkatkan sistem imun badan. Namun, untuk menghasilkan vitamin D, cahaya matahari perlu diserap oleh lapisan kolesterol di bawah kulit dan tanpa kolesterol, penghasilan vitamin D ini tidak dapat dihasilkan dengan efisien.
- Kolesterol juga menghasilkan cecair hempedu yang berfungsi sebagai enzim penghadaman dan lain-lain.
- Kolesterol juga penting untuk fungsi otak dan fungsi memori, bahkan, kekurangan kolesterol akan menyebabkan badan berfungsi dengan tidak cekap. Disebabkan oleh ini badan masih menghasilkan kolesterol baru untuk membantu sistem badan.
Kolesterol sering dikaitkan dengan penyumbatan salur darah. Apabila salur darah di jantung tersumbat ia boleh menyebabkan sakit jantung manakala strok pula akan terjadi bila saluran darah di otak tersumbat.
Tetapi bagaimana penyumbatan ini boleh terjadi dan apa kaitannya dengan kolesterol?
Perlu diketahui, kolesterol di dalam badan boleh dipecahkan kepada dua iaitu kolesterol baik dan kolesterol jahat.
- Contoh kolesterol baik: HDL (High Density Lipoprotein)
- Contoh kolesterol jahat: LDL/VLDL (Low Density Lipoprotein/Very Low-Density Lipoprotein)
Tetapi, jika kita lihat pada nama kolesterol ini, tiada menyebut nama kolesterol langsung! Ini kerana HDL, LDL dan VLDL ini sebenarnya hanyalah agen pengangkutan kepada kolesterol dan berfungsi seperti bas yang mengangkut kolesterol ke serata badan.
Hati adalah organ yang bertanggungjawab untuk menghasilkan kolesterol dan apabila kolesterol dihasilkan, LDL dan VLDL akan mengangkut kolesterol ke seluruh badan. Manakala HDL akan mengangkut kolesterol daripada seluruh badan kembali ke hati. Semakin banyak HDL dalam darah, semakin banyak la kolesterol yang kembali ke hati dan dikeluarkan daripada tubuh badan.
Kadangkala, berlakunya kecederaan di salur darah disebabkan oleh keradangan, dan kolesterol akan berfungsi untuk menampal dan menutup kawasan keradangan tersebut. Namun, masalah terjadi apabila radikal bebas datang ke kawasan keradangan dan menyebabkan kolesterol tadi menjadi lembik dan melekit memudahkan kolesterol baru melekat.
Keradangan yang berterusan akan menyebabkan lebih banyak kolesterol melekat antara satu sama lain hingga membentuk plak yang boleh menjadi punca penyumbatan salur darah. LDL dan VLDL disebutkan kolesterol jahat kerana merekalah yang akan mengangkut kolesterol ke salur darah dan menampal keradangan..
Adakah kolesterol yang masih menjadi punca? Atau keradangan?
Masalah keradangan boleh diterukkan lagi oleh radikal bebas. Namun, ia boleh diatasi oleh antioksidan walaupun kadangkala keradangan di dalam badan terlalu banyak sehingga antioksidan tidak lagi dapat membantu. Badan kita juga menghasilkan antioksidan tersendiri tetapi seiring dengan peningkatan usia, penghasilan antioksidan akan semakin menurun.
Bagaimana untuk meningkatkan jumlah antioksidan?
Melalui pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang mencukupi. Namun, statistik menunjukkan 95% rakyat Malaysia tidak mengambil sayur dan buah yang secukupnya setiap hari, dan ini boleh membantutkan usaha untuk mengelakkan penyumbatan salur darah.
Jika kita lihat, kebiasaannya dalam pinggan rakyat Malaysia, pengambilan nasi dan lauk lah yang akan dilebihkan manakala sayuran hampir tiada. Walhal, faktor pemakanan ini boleh di atasi oleh individu sendiri.
Selain daripada pengambilan sayur yang tidak mencukupi, faktor pemakanan yang lain juga banyak berkait rapat dengan kenaikan kolesterol jahat dalam darah.
- Gula ataupun pemanis yang diambil dalam bentuk High Fructose Corn Syrup. Fruktosa ini adalah jenis gula yang tidak dapat digunakan oleh badan dan akan terus dihantar ke hati. Hati pula akan menukarkan fruktosa ini kepada lemak. Fruktosa juga terdapat di dalam buah dan tiada masalah untuk mengambil fruktosa dalam bentuk buah kerana ia datang bersama pakej serat dan fitonutrisi yang mampu mengawal kesan fruktosa dalam badan dan menjadikannya neutral.
- Lemak trans iaitu sejenis lemak jadian satu proses yang ditambah dengan molekul hidrogen ke dalam makanan untuk menjadikan makanan tersebut lebih mudah digunakan, tekstur yang lebih menarik serta tahan lebih lama. Contoh makanan seperti pastri, makanan segera, makanan terproses dan makanan yang berasaskan marjerin.
- Jenis masakan bergoreng atau bakar dimana apa-apa makanan yang dimasak pada suhu tinggi untuk tempoh waktu yang cepat boleh menghasilkan banyak AGEs. Jika diambil pada kadar yang terlalu banyak, badan tidak dapat memproses AGEs tersebut kerana ia bersifat pro radang dan menyebabkan lebih banyak keradangan akan berlaku dalam badan kita. Pengambilan fruktosa juga boleh meningkatkan pembentukan AGEs sehingga 7 kali ganda lebih mudah berbanding makanan lain
Namun, ada keadaan di mana semua langkah telah dilakukan secara istiqomah tetapi paras kolesterol masih tinggi. Ini mungkin dipengaruhi oleh faktor genetik dan kemungkinan perlu dibantu dengan ubat-ubatan.
Kesimpulannya, elakkan faktor yang menyebabkan keradangan untuk mengelakkan masalah kolesterol tinggi terutamanya menjaga faktor pemakanan.
Ambil sayur dan buah mencukupi serta bersenam, rehat mencukupi, berhenti merokok dan kurangkan stres. Hadkan pengambilan makanan terpsoses walaupun ia adalah alternatif termudah pada masa kini, dan bersederhanalah.
Tidak semestinya anda kurus, kolesterol anda tidak tinggi kerana mereka yang kurus juga kadangkala mengamalkan gaya hidup tidak sihat dan tidak menjaga pemakanan.