- darah tinggi
- gula darah melambung
- kawal gula darah
- kolesterol tinggi
- penyakit 3 serangkai
- petua turun gula darah
- petua turunkan darah tinggi
- petua turunkan kolesterol
- tekanan darah tinggi
- tips darah tinggi
Sindrom Metabolik Atau Penyakit Berangkai: Lelaki Atau Wanita Yang Menjadi Mangsa?
Statistik menunjukkan kes metabolik di Malaysia semakin meningkat, dimana hampir 25-40% orang dewasa terbabit dengan masalah metabolik yang turut menjadi punca kepada penyakit-penyakit berangkai yang lain.
Namun, sebenarnya siapa yang lebih terkesan dengan sindrom metabolik ini. Sama ada lelaki atau wanita?
Sindrom metabolik yang turut dikenali sebagai sindrom X adalah keadaan dimana badan mengalami gangguan metabolisma ataupun masalah pengurusan tenaga.
Apabila kita makan, gula yang terhasil akan ditukarkan kepada tenaga. Namun terdapat sesetengah individu, hormon insulin mereka dah tumpul dan sel badan dah tak peka dengan hormon tersebut. Walaupun hormon insulin ini ada, tetapi ia tidak dapat digunakan dengan baik oleh sel badan.
Apabila ini terjadi,kita akan terdedah dengan risiko penyakit-penyakit metabolik iaitu penyakit berangkai seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, kencing manis dan pada akhirnya penyakit-penyakit ini akan menjurus kepada komplikasi seperti sakit jantung dan strok.
Ada beberapa faktor yang menunjukkan anda berisiko tinggi mendapat penyakit metabolik iaitu:
1) Tekanan darah tinggi – Tekanan darah yang tinggi iaitu melebihi 130/85 meningkatkan risiko mendapat penyakit metabolik.
2) Rintangan insulin – Apabila insulin mula tumpul dan badan tak peka pada kehadiran insulin, ini akan menyebabkan metabolisma gula terganggu dan bacaan gula meningkat.
3) Ukur lilit pinggang – Perut yang terlalu besar atau buncit mengandungi banyak lemak aktif (lemak visceral) yang menghasilkan bahan-bahan keradangan yang juga menjadi punca kepada hampir 200 penyakit di dalam badan. Pastikan ukur lilit pinggang anda tidak melebihi 35.5 inci untuk lelaki dan 31.5 inci untuk wanita. Ukuran ini lebih kecil daripada biasa kerana kita gunakan rujukan untuk masyarakat Asia.
4) Kandungan trigliserida (TG) yang tinggi.
5) Kandungan HDL yang rendah. HDL juga dikenali sebagai kolesterol baik kerana membantu mengangkut kolesterol keluar dari salur darah.
Ini adalah faktor-faktor risiko yang sangat signifikan untuk masalah metabolik.
Di Malaysia sahaja, hampir 1.7 juta rakyat Malaysia mempunyai penyakit 3 serangkai dan sangat dikhuatiri ia boleh menyebabkan komplikasi yang lebih berbahaya seperti sakit jantung.
Ramai orang dewasa pada masa kini muda-muda lagi dah ada sakit jantung. Luaran nampak sihat, tapi bila-bila masa boleh terkena serangan jantung.
Faktor yang menyebabkan masalah ini terjadi pertamanya adalah disebabkan oleh masalah rintangan insulin yang tinggi dan kedua adalah masalah obesiti. Malaysia mempunyai kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara. Maksudnya kita lebih terdedah kepada penyakit berangkai ini. Penyakit kencing manis dan obesiti ini sangat berkait antara satu sama lain hingga digelar Diabesity.
Tapi jika anda tanya antara lelaki dan perempuan siapa yang akan lebih terkesan dengan penyakit metabolik? Sebenarnya ia boleh disebabkan oleh pelbagai faktor.
Sebagai contoh, jika di kawasan bandar, lelaki lebih mendahului dengan 72.9% lelaki mempunyai kes metabolik berbanding wanita iaitu hanya 47.1%. Walaupun jumlah wanita lebih rendah tetapi risiko ni akan meningkat seiring dengan usia. Terutamanya apabila memasuki usia tertentu seperti usia menopos, hormon estrogen akan mula berkurang dan dari sinilah banyak penyakit metabolik mula menyerang.
Sebenarnya hormon estrogen ini memberi perlindungan kepada wanita daripada penyakit jantung atau penyakit metabolik lain. Ini kerana estrogen bersifat antioksidan dan melindungi badan dari keradangan.
Tetapi bila estrogen berkurang, rintangan insulin akan semakin meningkat dan secara tidak langsung meningkatkan risiko masalah metabolik yang menjurus kepada risiko sakit jantung.
Statistik juga menunjukkan 45% dari wanita mempunyai masalah kolesterol dan 65% lagi mempunyai masalah berat badan dan jika aspek ini tidak dijaga oleh kaum wanita, anda sebenarnya mengalami risiko yang sama tinggi seperti lelaki untuk dapat masalah metabolik.
Namun, jangan risau kerana sindrom metabolik ini banyak berkait rapat dengan penjagaan gaya hidup kita. Sebenarnya, semakin kita berusia semakin kita perlu menjaga gaya hidup.
Contohnya ada yang kata dah umur tua ni tidur sikit pun cukup adalah satu konsep yang salah. Sebab tidur adalah waktu untuk badan memulihkan kecederaan dalaman. Kalau tak cukup tidur, badan tak sempat nak bersiap siaga untuk kecederaan baru pada esok hari.
Antara tips yang boleh diamalkan untuk mengelakkan masalah metabolik:
1) Jika anda tergolong dalam kalangan mereka yang bekerja di pejabat, kajian menunjukkan duduk lebih 9.3 jam sehari boleh meningkatkan risiko mendapat masalah sindrom metabolik ini sehingga 3.8 kali ganda. Pastikan selepas duduk selama 30 minit, anda bangun dan berjalan sekitar ofis selama 3 minit.
2) Bersenam secara istiqomah. Anda tak perlu lakukan senaman yang extreme, berjalan kaki 30 minit sehari sudah memadai untuk menurunkan risiko sindrom metabolik sehingga 17 kali ganda. Bukan jalan yang berlenggang, tapi jalan pada rentak yang laju.
3) Kurangkan berat badan. Lagi-lagi, mereka yang mempunyai ukur lilit pinggang yang berlebihan. Idealnya, mula dengan kurangkan 10% daripada berat anda.
4) Kurangkan dan kawal stres dengan baik. Stres yang berlebihan boleh menjejaskan kesihatan kerana boleh meningkatkan keradangan kronik dan rintangan insulin.
Bermanfaat? Kongsikan bersama tersayang ya!