6 Tips Untuk Mendapatkan Tidur Yang Berkualiti
Tidak mendapat tidur berkualiti dan mencukupi boleh menyebabkan anda keletihan. Antara faktor penyumbang yang menyebabkan anda tidak dapat tidur yang berkualiti adalah disebabkan tekanan di tempat kerja, sekolah, kebimbangan tentang masalah kewangan, keluarga, cinta dan macam-macam lagi.
Anda mungkin tidak dapat mengawal semua masalah dan isu yang timbul, tetapi anda boleh mengaplikasikan beberapa tip mudah ini untuk membantu anda mendapatkan tidur yang lebih baik. Di sini, terdapat beberapa tips untuk mendapatkan tidur yang berkualiti.
1) Tukar tabiat tidur
Cuba untuk tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari. Amalkan setiap hari selama seminggu; pada hujung minggu, atau pada hari kerja biasa, walaupun ketika anda merasakan anda tidak mendapat tidur yang secukupnya.
Ada masanya, adalah lebih baik untuk anda tidur hanya ketika anda keletihan. Anda juga boleh tidur lebih lambat dari biasa jika ia membantu anda tidur dengan lebih cepat.
Elakkan menonton televisyen, menggunakan telefon, tablet atau komputer sebelum tidur. Ia akan menyebabkan otak akan bekerja walaupun anda sudah berbaring. Sebaiknya, cuba untuk rehatkan tubuh dan minda. Anda boleh mandi dengan air panas, mendengar muzik, atau minum segelas susu panas, ini antara aktiviti yang dapat meningkatkan kualiti tidur anda.
Jangan terlalu memaksa diri untuk tidur, hindari dari terlalu melihat jam. Jika anda tidak boleh tidur, bangun dan cuba untuk membaca buku, ia mungkin dapat membantu anda tidur lebih cepat.
2) Kawal rutin pemakanan
Setiap apa yang anda makan dan juga minum turut boleh mengganggu tidur anda.
- Elakkan kopi atau teh beberapa jam sebelum waktu tidur.
- Seimbangkan air yang anda ambil. Tidak mengambil air yang secukupnya boleh menyebabkan anda haus, manakala, mengambil terlebih air akan membuatkan kerap pergi ke tandas.
- Hindari minuman beralkohol.
- Jangan makan makanan yang berat sebelum tidur. Ini boleh membuatkan anda tidak selesa untuk berbaring. Pilih snek ringan untuk elakkan dari daripada lapar.
3) Cipta persekitaran tidur yang lebih baik
Persekitaran tidur juga boleh menjejaskan tidur anda. Oleh itu, sebaiknya ubah suai suasana bilik tidur agar lebih menenangkan.
- Gunakan topeng mata (eye mask) untuk mengelakkan cahaya.
- Pastikan suhu bilik bersesuaian, tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk.
- Pertimbangkan untuk memakai fon telinga (ear phone) jika bilik anda bising.
- Gunakan tilam dan bantal yang anda gemari.
- Jika anda tidur bersama individu lain, pastikan anda berdua seles
4) Kekal aktif
Melakukan aktiviti fizikal dapat membantu anda untuk tidur lebih cepat dan lebih baik. Melakukan 30 minit aktiviti berjalan atau berbasikal antara idea yang baik. Tetapi elakkan daripada melakukan sebarang aktiviti berat terlalu hampir dengan waktu tidur kerana ia akan menyebabkan tubuh anda bertenaga dan mengakibatkan anda tidak boleh tidur awal.
5) Kurangkan tidur waktu siang
Tidur waktu siang mempunyai kaitan dengan tidur malam. Jika anda terlebih tidur pada waktu siang, anda akan mendapat kesukaran untuk tidur pada waktu malam. Jika anda perlu dan ingin tidur pada waktu siang, pastikan ia adalah sekejap.
6) Kawal tekanan
Tekanan adalah antara punca utama masalah tidur. Jika anda perlu melakukan terlalu banyak kerja, cuba untuk aturkan ia sebaik mungkin. Jangan bekerja terlalu lama, anda perlukan rehat. Cuba untuk bersantai dengan mendengar radio atau melakukan senaman ringan.
Tidur adalah satu perkara penting dalam kehidupan seharian anda. Walau bagaimanapun, terdapat masalah, sama ada yang boleh atau tidak boleh anda kendalikan, membuatkan tidur anda semakin terganggu. Ambil langkah untuk cuba memperbaiki kualiti tidur anda hari ini.