Kaki kebas sering dirasai oleh sesiapa yang duduk terlalu lama dalam satu posisi. Sama ada kaki terlipat terlalu lama ataupun kadang-kala melunjur sahaja, sudah cukup untuk berasa kebas untuk beberapa waktu.

Kebas ataupun semut-semut bukan sahaja dialami oleh golongan dewasa, namun seawal usia kanak-kanak juga boleh merasakannya. 

Selalunya, kebas kaki akan pulih dalam masa 1-2 minit. Tetapi ada yang berlanjutan sehingga seminggu.

Jika anda salah seorang yang sering mengalami kebas kaki, ini mungkin punca-puncanya.

#1 Saraf Terhimpit

Urat saraf yang terhimpit akibat pergerakan atau sekatan dari tendon, otot, tisu dan tulang yang berdekatan boleh memberikan anda pelbagai rasa. 

Selain itu, banyak aktiviti yang boleh memberikan kesan kepada urat saraf. 

Antaranya:

  • pergerakan yang terlalu agresif
  • terlalu statik dalam satu posisi
  • memakai kasut yang terlalu ketat juga boleh menyebabkan kaki kebas

Tetapi jika kaki kebas disebabkan oleh perkara tersebut, rawatan mudah yang boleh diberikan. 

Rawatan tersebut adalah dengan membetulkan posisi, postur badan dan menguatkan otot-otot berkenaan.

Tetapi untuk sesetengah kes, ubat pelali atau pembedahan perlu dilakukan untuk mengurangkan rasa kebas berikut.

 

#2 Hernia Disc Tulang Belakang 

Fungsi disc atau cakera adalah seperti pelapik di antara dua vertebra.

Hernia cakera tulang belakang (herniated disc) atau hernia nukleus palposus (herniation of nucleus palposus) atau singkatannya HNP ialah keadaan di mana cakera tulang belakang tergelincir dari tempatnya atau ia pecah yang menyebabkan kandungannya terkeluar.

Masalah ini sering terjadi di bahagian bawah tulang belakang terutamanya L4-L5 dan L5-S1 (L= lumbar, S = sacral). Hal ini kerana tulang lumbar menanggung hampir keseluruhan berat badan.

Mereka yang berumur 30-50 tahun adalah golongan yang sering terdedah dengan masalah ini. Ia disebabkan oleh cakera tulang belakang telah hilang keanjalan dan kelembapannya seiring dengan peningkatan usia.

Masalah hernia cakera tulang belakang atau slip disc boleh terjadi dengan pelbagai cara sama ada ia berlaku secara perlahan-lahan atau secara tiba-tiba. 

Apabila ini berlaku, urat saraf akan terhimpit dan menjadi penyebab kepada rasa kebas. Hal ini disebabkan saraf yang terhimpit atau terkepit oleh tekanan daripada tulang rawan yang tergelincir daripada tempat asalnya.

Rasa kebas boleh diatasi dengan senaman atau fisioterapi, ubat tahan sakit ataupun pembedahan jika masalahnya terlalu serius.

 

#3 Diabetes atau kencing manis

Umum mengetahui kencing manis berlaku apabila badan tidak dapat menghasilkan insulin atau badan tidak dapat mengunakan insulin dengan baik.

Insulin merupakan hormon yang mengawal paras gula dalam darah dengan memberikan laluan kepada gula untuk masuk ke dalam sel-sel untuk ditukarkan menjadi tenaga.

Tetapi bagi pesakit Diabetes, gula yang tinggi dalam darah boleh menyebabkan kerosakan pada saraf dan ia dipanggil sebagai diabetik neuropati.

Aliran darah yang terganggu di sekitar saraf menyebabkan sel saraf lemas seterusnya menyebabkan rasa kebas di sekitar kaki. 

Bagi pesakit Diabetes yang mengalami kaki kebas, penjagaan bacaan gula darah adalah penting.

Selain itu, penjagaan amalan gaya hidup sihat seperti pemakanan, tidur, stres dan senaman perlu diamalkan. 

 

#4 Penyakit Arteri Periferal (PAD)

Penyakit arteri periferal (PAD) merujuk kepada penyakit saluran darah yang terletak di luar jantung dan otak.

Ia memberi kesan kepada saluran darah yang menyebabkan ia menjadi sempit, menyekat aliran darah ke lengan, buah pinggang, perut dan kaki. 

Ia sering terjadi disebabkan oleh akibat masalah aterosklerosis di mana lemak (plak) terbina di dinding arteri dan mengurangkan aliran darah. 

Terdapat individu yang merasa simptom kaki terbakar atau kaku. Namun, ada juga sesetengah individu yang tidak merasa kesakitan kerana penyakit tersebut sudah progresif.

Simptom penyakit arteri periferal lain termasuklah:

  • Luka yang lambat sembuh
  • Kaki lebih sejuk berbanding lengan
  • Kulit berkilat di atas kaki
  • Kehilangan bulu kaki
  • Denyutan lemah di kaki

Individu yang mengalami masalah ini perlu mengubah gaya hidup kepada pilihan yang lebih baik.

Sekiranya anda seorang perokok, berhenti merokok adalah perkara yang penting untuk mengurangkan komplikasi penyakit ini.

Dapatkan nasihat daripada Doktor yang merawat untuk mengetahui nasihat dan rawatan yang terbaik.

Jangan Biarkan Kaki Kebas Berlanjutan

Bagi mereka yang sering menghadapi kaki kebas, mereka dinasihatkan untuk tidak membiarkannya melarat. 

Tambahan pula, kaki kebas bukan sahaja menyebabkan kesakitan tetapi juga boleh memudaratkan kesihatan.

Jika anda mempunyai masalah kaki kebas segera periksa bacaan gula darah kerana ia mungkin tanda awal masalah kencing manis.

Kaki kebas yang tidak dirawat boleh menyebabkan ia lemah menyukarkan anda untuk berjalan dan melakukan tugas seharian. 

Sebaiknya berjumpa dengan Doktor Perubatan untuk mengetahui punca dan diagnos sebenar keadaan anda. 

Diharapkan artikel ini memberikan manfaat kepada anda dan orang tersayang.

 

-->