- emakanan diabetes
- kencing manis dan makanan
- makan diabetes
- pemakanan kencing manis
- tips diabetes
- tips kencing manis
- tips makan kencing manis
Makanan Untuk Pesakit Kencing Manis: Panduan Pengurusan Makanan Yang Seimbang dan Sihat
Bagi pesakit Diabetes, pengambilan makanan yang sihat dan seimbang amat penting bagi mereka. Terdapat beberapa jenis makanan untuk pesakit kencing manis yang boleh dipilih.
Percaya atau tidak, pesakit juga boleh menikmati makanan yang sedap asalkan mereka mengikuti pelan pemakanan yang betul.
Dalam artikel ini, kami akan mengupas lebih lanjut tentang cara menyediakan makanan yang mudah untuk pesakit kencing manis.
Kawalan makanan untuk pesakit kencing manis
Bagi pesakit kencing manis, amat penting untuk mereka mengawal pemakanan untuk mengekalkan paras gula pada tahap normal.
Selain itu, ia juga membantu mengelakkan komplikasi diabetes.
Prinsip pemakanan sihat
- Waktu makan yang tetap dan teratur.
- Sukatan makanan yang perlu diambil adalah segenggam karbohidrat, segenggam protein dan dua tapak tangan sayur.
- Pilih karbohidrat yang kurang diproses seperti nasi dan elakkan tepung.
- Hadkan pengambilan garam, gula dan lemak trans tersembunyi.
- Tingkatkan pengambilan serat (sayur-sayuran) dalam hidangan anda.
- Elakkan makanan terproses dan segera, pilih untuk memasak di rumah.
- Mengamalkan cara masak yang sihat seperti rebus, sup dan stim.
- Menggunakan peralatan memasak seramik berbanding besi.
- Hadkan penggunaan lemak terproses seperti minyak sayuran, gantikan dengan minyak kelapa dan minyak zaitun.
- Banyakkan penggunaan herba dalam masakan.
- Kurangkan minuman manis, amalkan teh dan kopi tanpa gula.
- Tingkatkan pengambilan omega-3 seperti ikan dan telur.
- Elakkan jus buah, pilih buah-buahan dalam kuantiti yang tepat.
- Minum air kosong secukupnya.
- Elakkan mengambil snek dan kudapan diantara masa makan utama.
- Ambil insulin atau ubat pada waktu yang ditetapkan.
Waktu makan yang sesuai
Pesakit Diabetes disarankan untuk mengambil 3 waktu makan utama. Snek sihat dibolehkan ketika ada keperluan (terutama bagi individu yang memerlukan atau mengambil suntikan insulin).
Jangan langkau waktu makan utama dan pilih snek yang sihat.
Waktu makan yang disarankan adalah;
- Sarapan (Antara 7.30 pagi – 8.00 pagi)
- Makan Tengahari (Antara 12.00 tengahari – 1.30 petang)
- Makan Malam (Antara 6.00 petang – 6.30 malam)
Pengambilan jumlah karbohidrat yang betul
Karbohidrat menghasilkan gula dalam darah yang mana mempengaruhi paras gula dalam darah.
Anda perlu belajar untuk mengetahui jumlah karbohidrat yang perlu diambil setiap hari bagi memastikan paras gula dalam darah terkawal.
Pengambilan karbohidrat yang disyorkan bagi setiap waktu makan utama adalah sebanyak segenggam karbohidrat atau bersamaan dengan 15g karbohidrat.
Pertukaran makanan adalah seperti berikut.
- 1/3 mangkuk cina nasi putih, bihun, kuey teow, spaghetti, macaroni, mee kuning
- ½ keping dosai
- 1 keping putu mayam
- 1/3 keping chapati
- 1 keping roti mil penuh
Konsep pinggan sihat
- Segenggam karbohidrat
- Segenggam protein (ayam, daging, ikan)
- Dua tapak tangan sayur
Tip Mudah Untuk Perlahankan Kenaikan Paras Gula Dalam Darah
- Guna minyak zaitun ketika memasak
- Gunakan peralatan memasak seramik berbanding besi
- Sejukkan makanan sebelum makan
- Minum air limau nipis tanpa gula sebelum makan
- Kunyah perlahan-lahan dan elak menambah
- Elakkan hidangan buffet
3 jenis kumpulan makanan untuk pesakit kencing manis
Senarai makanan yang perlu dielakkan
Kumpulan makanan yang bukan sahaja manis, malah kaya lemak trans harus dielakkan oleh penghidap diabetes.
Berikut adalah senarai makanan yang perlu dihadkan oleh penghidap diabetes:
- Soda dan minuman terproses
- Mee segera
- Margerin
- Yogurt
- Kuih-muih
- Biskut, pastri, piza segera
- Daging awet dan terproses
- Bijirin berbungkus
- Salad dressing
- Makanan bergoreng dan segera
- Makanan yang mempunyai garam tersembunyi
- Buah-buahan dan makanan dalam tin
- Ais krim
- Makanan terproses dengan gula
- Jus buah-buahan
Senarai makanan yang perlu diambil
Pengambilan makanan semula jadi seperti:
- Buah-buahan (elakkan jus)
- Sayur-sayuran
- Kekacang – kacang kuda, kacang peas, kacang hijau, kacang almond, kacang soya
Tingkatkan pengambilan omega-3
- Ikan salmon
- Ikan sardin
- Telur
- Minyak zaitun
- Avokado
Pengambilan buah-buahan, mengikut sukatan yang disyorkan
Buah-buahan disarankan diambil sejurus selepas hidangan utama iaitu sebanyak satu hidangan bagi setiap waktu makan utama.
Namun, bagi penghidap diabetes hidangan buah dihadkan hanya kepada dua hidangan buah sehari. Buah-buahan terproses dan tin tidak digalakkan.
Berikut merupakan pertukaran jumlah buah-buahan dan setiap sukatan berikut mempunyai 15g karbohidrat:
- 1 biji sederhana epal atau oren atau belimbing atau pear atau ciku atau kiwi
- ½ biji pisang
- 6 biji kedondong
- 2 biji kecil manggis
- 8 biji duku atau anggur atau langsat atau longan atau jambu air kecil
- 2 biji laici atau rambutan
- 1 potong (6 inci) betik atau nenas atau tembikai atau durian belanda
- ½ biji jambu batu
- 4 ulas cempedak atau Nangka
- 2 ulas durian atau kurma
- 1 sudu kecil kismis
- ½ biji mangga sederhana
Contoh menu sihat
Cadangan Menu Makanan
- Karbohidrat – Nasi putih, Nasi ayam, Nasi lemak
- Protein – Ikan atau ayam kukus/ ayam, telur atau daging kari/ ikan atau ayam singgang/ ayam tomyam/ ikan stim limau
- Serat – Sayur celur atau stim, sup sayur, ulam-ulaman dan salad segar
Cadangan Menu Minuman
- Air kosong
- Teh tanpa gula
- Kopi tanpa gula
- Air kelapa tanpa gula
- Air lemon tanpa gula
- Air kosong dengan serbuk kayu manis (1 dan ½ sudu teh)
Ingat objektif pemakanan diabetes
Objektif makanan untuk pesakit kencing manis adalah untuk mengawal paras gula, tekanan darah, kolesterol dalam julat yang optimum.
Malah dengan pengawalan yang baik dapat membantu individu mendapat bacaan tekanan darah yang terkawal.
Diet ini juga sesuai untuk pesakit kencing manis untuk mengatasi rasa letih, masalah kerap kencing, kebas dan menggalakkan penyembuhan luka.
Malah bagi pesakit kencing manis yang hamil, mereka boleh mengikut saranan ini dengan mengambil snek antara waktu makan utama.
Bersenam untuk kekal sihat
Bersenam mempunyai banyak manfaat kepada penghidap diabetes.
Ia bukan sahaja membantu menurunkan paras gula dan tekanan darah, malah membantu mengurangkan rintangan insulin.
Senaman juga berupaya menguatkan otot/sendi, menyihatkan jantung dan melancarkan aliran darah.
Berapa banyak senaman yang diperlukan? – Sebaiknya anda perlu bersenam pada setiap hari.
Hanya sasarkan 30 minit sehari selama 5 hari (150 minit seminggu). Ia bermula secara progresif mengikut kemampuan badan.
Contoh senaman adalah:
- Berjalan kaki
- Berenang
- Berbasikal statik
Selain itu, amalkan senaman 2-3 kali seminggu untuk menguatkan otot seperti angkat berat dan berkebun untuk menguatkan otot anda.
Berbincang dengan doktor atau anggota kesihatan untuk jenis dan tempoh senaman yang sesuai untuk anda.
Bagaimana untuk mula bersenam
- Jika anda tidak pernah atau sudah lama tidak bersenam, rujuk doktor atau anggota kesihatan untuk khidmat nasihat sebelum bersenam.
- Mulakan senaman dengan warming up dan akhiri dengan cooling down.
- Pakai kasut yang sesuai untuk melindungi kaki anda dan mengelakkan kecederaan.
- Minum air sebelum, semasa dan selepas bersenam untuk mendapat air yang mencukupi.
- Mula bersenam secara perlahan-lahan dan tingkatkan intensiti secara beransur-ansur dalam beberapa minggu mengikut kemampuan anda.
Panduan senaman untuk pesakit diabetes yang mengamalkan ubat atau suntikan insulin
- Makan dahulu 1-2 jam sebelum bersenam.
- Periksa glukosa darah anda sebelum dan selepas bersenam.
- Sentiasa bawa gula-gula atau manisan semasa bersenam. Makan apabila berasa hendak pengsan atau hipoglisemia.
- Anda perlu membawa pengenalan diri yang menyatakan anda menghidap penyakit diabetes bersama anda. Ini membantu sekiranya anda pengsan atau berlaku kecemasan. Lebih baik jika anda bersenam bersama rakan.
- Adalah tidak selamat untuk bersenam sekiranya tahap glukosa darah anda tidak terkawal, anda sakit dan terdapat keton dalam urin anda.
- Periksa kaki anda sekiranya ada melecet atau luka sebelum dan selepas bersenam.
Hipoglisemia pesakit diabetes
Pesakit kencing manis juga berisiko untuk mendapat hipoglisemia (gula terlalu rendah) dengan tanda-tanda seperti;
- Menggeletar / menggigil
- Jantung berdegup pantas
- Berpeluh dingin
- Resah gelisah
- Pening kepala
- Lapar melampau
- Mata kabur
- Penat
Punca hipoglisemia
- Tidak makan selepas ubat/suntikan insulin
- Makan terlalu sedikit
- Senaman berlebihan
- Dos insulin/ubat insulin berlebihan
Untuk mengelakkan hipoglisemia, pesakit Diabetes disarankan untuk tidak melangkau waktu makan dan makan secara tetap.
Ambil ubat/suntikan mengikut dos. Pesakit juga perlu makan sedikit sebelum aktiviti senaman.
Apa yang pesakit perlu lakukan jika mengalami hipoglisemia?
Uji paras gula jika ianya <3.9mmol/L dengan mengambil manisan seperti minum ½ cawan air manis atau 2 biji gula-gula. Kemudian, uji semula paras darah selepas 10-15 minit.
Kalau masih rendah, ulang langkah. Sekiranya masa untuk makan utama masih lambat seperti lagi 20 minit, ambil 1 hidangan karbohidrat kompleks:
- 1 keping roti atau 1 keping sandwich atau 3 keping biskut krim kraker atau 1 biji buah atau 1 cawan susu.
Hipoglisemia boleh terjadi secara tiba-tiba jadi pesakit kencing manis perlu membawa bekalan air, buah atau gula-gula untuk mengelak serangan secara tiba-tiba.
Kesimpulan
Dengan pengurusan makanan yang teratur beserta melakukan senaman, pesakit Diabetes dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik dan bermakna.
Walaupun pesakit perlu melakukan penyesuaian terhadap tabiat makan, ia dapat membantu mengurangkan komplikasi serta menstabilkan gula di dalam darah.
Diharapkan artikel ini memberikan manfaat kepada anda dan orang yang tersayang.
(Rujukan: Modul Latihan Pengendalian Perkhidmatan NCD Untuk Paramedik KKM)