7 Tanda-Tanda Bahaya Kehamilan Yang Semua Bakal Ibu Wajib Tahu!
Fasa kehamilan adalah tempoh yang sungguh mengujakan buat para ibu. Pastinya ramai yang mula mencari ilmu tentang kehamilan.
Selain daripada info penjagaan kehamilan, anda juga perlu peka berkaitan pendarahan sewaktu hamil dan tanda-tanda bahaya bagi ibu yang sedang hamil.
Penting untuk para ibu hamil mengetahui sebab mengapa ia terjadi kerana walaupun nampak remeh tetapi ia boleh membahayakan diri dan kandungan anda.
Pertama, fahami fasa kehamilan. Ia dibahagikan kepada tiga fasa iaitu trimester pertama, kedua dan ketiga. Trimester pertama adalah 3 bulan yang pertama kehamilan, manakala trimester kedua adalah tempoh 3-6 bulan kehamilan dan trimester ketiga merupakan tempoh tiga bulan yang terakhir sehingga anda melahirkan.
Selalunya 3 bulan pertama ini adalah saat-saat yang kritikal kerana pada masa inilah proses pembentukan organ-organ penting seperti pembentukan mata, saraf, jantung dan sebagainya sedang berlaku dalam janin.
Tapi apakah tanda-tanda yang anda harus cakna ketika kehamilan untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini? Jom ikuti perkongsian ini :
1) Pendarahan
- Sekiranya berlaku pendarahan tak kira sedikit atau banyak, para ibu harus segera membuat pemeriksaan.- Ada beberapa jenis pendarahan yang boleh diklasifikasikan mengikut trimester dan juga jumlah darah. Tetapi apakah pendarahan yang kita boleh anggap sebagai tanda amaran atau tanda bahaya?
- Sewaktu trimester pertama, seandainya pendarahan tu berlaku dengan banyak dan disertai dengan senak perut yang teramat di sebelah badan sahaja sehingga sampai nak pitam dan disertakan sekali dengan cramp atau senggugut yang teruk. Keadaan ini selalunya terjadi seawal 4-10 minggu yang pertama. Ini mungkin terjadi disebabkan oleh ectopic pregnancy ataupun kehamilan luar rahim. Ia bahaya sebab janin tu membesar bukan di dalam rahim, tapi di luar rahim, dan 95% selalunya berlaku di saluran fallopian tube. Fallopian tiub merupakan satu saluran yang menghubungkan ovari dan rahim anda. Saluran ni agak sempit atau halus dan apabila kandungan membesar, ia juga akan turut berkembang sehingga akhirnya boleh menyebabkan saluran ini pecah dan menyebabkan pendarahan yang serius dan ketara. Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan maut lebih-lebih lagi jika pendarahan itu serius.
- Jika pendarahan berlaku di penghujung trimester yang pertama, sekitar bulan ke-4 kehamilan, serta disertai dengan cramp dan kesakitan yang sangat teruk serta pendarahan yang banyak. Ini boleh disebabkan oleh keguguran. Individu yang mengalami simptom ini perlu mendapatkan rawatan segera.
- Pendarahan terjadi pada trimester ke 3 pula boleh disebabkan oleh placenta abruption atau uri tertanggal. Apabila ia tertanggal, pendarahan yang banyak akan berlaku. Namun, kadang-kadang ia boleh berlaku tanpa kesakitan dan hanya menunjukkan pendarahan.
- Ada juga keadaan placenta previa atau uri terletak di bawah dan boleh menyebabkan pendarahan. Uri yang sepatutnya berada di bahagian atas, mungkin berada di kawasan leher serviks atau permukaan rahim yang boleh menyebabkan darah keluar. Keadaan ini boleh membahayakan dan menjadi serius sekiranya pendarahan berlaku agak lewat iaitu pada minggu 20 dan ke atas kehamilan. Ia menjadi lebih serius jika pendarahan terjadi pada lewat usia kehamilan iaitu minggu 34-38.
Kesimpulannya, jika anda mengalami pendarahan lebih-lebih lagi apabila pendarahan yang banyak, jangan berlengah dan pastikan jumpa doktor dengan segera.
2) Alahan yang terlalu teruk
- Sesetengah wanita mempunyai alahan dan muntah yang teruk yang menyebabkan hilang selera makan dan minum sehingga menyebabkan dehidrasi. Apabila dehidrasi berlaku, keadaan ini boleh menjejaskan aliran darah dan fungsi organ.
- Tips mudah untuk mereka yang mempunyai alahan teruk adalah, makan secara sedikit-sedikit dan makan makanan yang kering ataupun tidak berbau.
- Jika muntah-muntah atau alahan yang teruk, perlu dapatkan bantuan di hospital kerana anda mungkin memerlukan tambahan air dan nutrisi dalam bentuk drip.
3) Sakit ketika buang air kecil
- Simptom termasuklah anda terasa sakit ketika ingin membuang air kecil dan anda kencing dalam kuantiti yang sikit-sikit.
- Kebiasaannya, ia merupakan tanda jangkitan kuman. Jika tidak dirawat, kuman tersebut boleh merebak ke buah pinggang dan menyebabkan jangkitan lain. Ia boleh menyebabkan sakit di bahagian belakang, buah pinggang dan disertai dengan demam.
- Apabila anda sudah mengalami demam panas pada suhu 38.5 celcius ke atas, kemudian disertai dengan sakit pinggang, besar kemungkinan jangkitan sudah merebak ke kawasan buah pinggang. Dapatkan rawatan segera kerana dikhuatiri akan berlakunya sepsis (jangkitan kuman masuk ke dalam darah).
- Rawatan yang biasanya diberi termasuklah antibiotik, pengambilan air yang mencukupi dan elakkan daripada menahan kencing.
4) Bayi dalam kandungan tidak bergerak
- Dalam keadaan normal, bayi akan bergerak lebih 10 kali dalam masa dua jam. Bagi sesetengah individu yang memantau pergerakan bayi, anda mungkin perasan jika pergerakan bayi anda kurang atau tiada. Ia mungkin normal seperti bayi tidur atau ia juga boleh menjadi tanda yang tidak normal.
- Bagi ibu yang mengalami simptom ini, segera makan dan minum air sejuk atau baring pada bahagian sisi. Cara ini boleh merangsang bayi untuk bergerak semula.
- Jika perkara ini semakin berlarutan dan pergerakan bayi masih kurang (bayi masih bergerak kurang dari 10 kali tendangan dalam tempoh 2 jam), segera ke hospital dan membuat pemeriksaan lanjut.
5) Kontraksi
- Kontraksi yang berlaku pada awal trimester ketiga boleh menjadi normal atau tidak normal.
- Apabila keadaan normal terjadi, ia dipanggil sebagai false labor. Ia terjadi tanpa dijangka apabila badan menghasilkan isyarat palsu untuk kelahiran. Simptomnya seperti kontraksi tanpa dijangka dan tidak kerap secara konsisten. Yang paling penting, kontraksi tersebut tidak semakin sakit.
- Keadaan yang tidak normal pula terjadi apabila anda mengalami masalah kelahiran pramatang. Simptom kontraksi akan berlaku kerap dengan jarak kurang 10 minit dan tahap kesakitan kontraksi semakin meningkat.
6) Pecah ketuban
- Air ketuban pecah awal sebelum tempoh dijangka bersalin. Biasanya bila air ketuban pecah, ia akan tumpah dengan banyak. Bagaimana pula jika air yang keluar dengan sedikit?
- Ia boleh menjadi normal disebabkan oleh beberapa faktor seperti di akhir minggu kehamilan, rahim besar sehingga menindih pundi kencing menyebabkan mudah terkucil.
- Terdapat cara membezakan air ketuban dan air kencing iaitu dengan mengosongkan pundi kencing terlebih dahulu. Selepas itu, periksa jika terdapat air mengalir atau tidak. Jika terdapat air yang masih mengalir, saranan terbaik adalah membuat pemeriksaan doktor dengan segera.
7) Pre-eklampsia
- Walaupun punca sebenar masih belum diketahui, saintis berpendapat ia berkemungkinan disebabkan oleh masalah genetik, autoimun atau masalah salur darah.
- Namun, simptom utama adalah tekanan darah naik terlalu tinggi disertai dengan kehadiran protein di dalam air kencing.
- Kebiasaannya keadaan ini terjadi selepas 20 minggu kehamilan dan mereka yang mengalaminya akan mendapat simptom seperti sakit kepala yang tidak hilang walaupun selepas mengambil ubat.
- Protein di dalam badan juga akan berkurang (disebabkan ia keluar melalui air kencing) dan keadaan ini menyebabkan pengumpulan air dalam badan atau water retention. Individu akan mengalami simptom seperti kaki bengkak atau berat badan naik mendadak disebabkan pengumpulan air dalam badan.
- Ibu yang mengalami pre-eklampsia juga akan mengalami perubahan visual di mana mereka tidak tahan pada cahaya yang terang, pemandangan menjadi kabur serta berbayang.
- Pre-eklampsia juga akan menjejaskan jumlah platelet dalam darah menyebabkan ibu tersebut akan mudah mengalami lebam-lebam dan sesak nafas.
- Dapatkan rawatan segera. Jika tidak dirawat dengan segera, keadaan ini boleh menyebabkan sawan, strok dan sebagainya.
Bermanfaat? Kongsikan kepada rakan anda yang sedang hamil ya.