5 Petua Terbaik Untuk Jantung Anda

-
0

Tahukah anda? Fenomena serangan jantung yang menjurus kepada kematian telah meningkat dua kali ganda sepanjang musim pandemik dan juga endemik ini? Fakta ini dikongsikan oleh Pakar Kardiologi dan Pakar Perubatan Dalaman, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Timbalan Prof. Dr. Mohd Ridzuan Mohd. Said. 

Mengikut statistik yang dikeluarkan pada tahun 2020, dilaporkan serangan jantung adalah penyebab kematian nombor satu di Malaysia dan secara purata, 50 rakyat meninggal dunia disebabkan oleh serangan jantung setiap hari.

Bagaimana serangan jantung ini boleh berlaku? 

Serangan jantung disebabkan oleh saluran darah jantung tersumbat akibat daripada proses aterosklerosis. Pemendapan plak bahan berlemak yang berlaku ke atas salur darah menyebabkan saluran darah jantung menjadi sempit dan berisiko untuk tersumbat. Antara gejala yang sering kali dirasai oleh pesakit ketika serangan jantung adalah sakit di bahagian tengah dada digambarkan sebagai perasaan ditimpa benda berat dan dikaitkan dengan susah pernafasan, berpeluh dan juga rasa loya.

Pada musim pandemik dan endemik seperti sekarang, kebanyakan pesakit tidak mengamalkan gaya kehidupan yang sihat kerana  keterbatasan ruang, kebanyakan individu kurang melakukan aktiviti fizikal, tabiat pemakanan yang tidak seimbang dan tidak sihat, tabiat merokok dan sebagainya. Keadaan ini telah mengundang peningkatan kes sehingga menjadi berganda.

Jom Elakkan Serangan Jantung Dengan 5 Petua Ini. 

  1.     Kekalkan Berat Badan Yang Sihat

Berat badan yang sihat ialah indeks jisim tubuh (IJT) di antara 18.5 dan 24.9. Anda disarankan untuk mengurangkan berat badan jika IJT anda melebihi tahap 25 kerana ia dapat membantu mengurangkan tahap gula darah dan tekanan darah anda.

  1.     Kekalkan Tahap Kolesterol, Tekanan Darah Dan Gula Darah Dalam Lingkungan Normal

Lakukan pemeriksaan tahunan yang lengkap bagi memantau tahap kolesterol, tekanan darah dan gula darah bagi mengekalkan kesihatan jantung yang baik. Amallah diet yang seimbang dan teruskan gaya hidup yang aktif.


  1.     Amalkan Diet Yang Baik Untuk Jantung

Pilih makanan yang rendah dengan lemak tepu dan kolesterol. Pilih bahagian daging yang kurang berlemak, dan kurangkan makanan bergoreng. Makan ikan setiap hari dan pilih ikan laut dalaman (cth. Ikan Salmon atau Sardin) 2 kali seminggu. Makan buah-buahan dan sayuran kerana ia merupakan sumber serat, vitamin-vitamin dan mineral, serta fitokimia yang baik untuk jantung anda. Di samping itu, adalah digalakkan untuk mengurangkan pengambilan garam dan gula.

  1.     Kekal Aktif Secara Fizikal

Tabiat bersenam membantu mengekalkan tahap tekanan darah, gula darah dan kolesterol darah dalam lingkungan yang sihat. Pilihlah aktiviti yang anda suka, dan tingkatkan kekerapan anda mengikut masa. Sekurang-kurangnya kekal aktif 30 minit setiap hari untuk kesihatan yang terbaik. 


  1.     Pengurusan Stres

Jangan pandang stres sebelah mata. Stres yang berlebihan mungkin merupakan punca tekanan darah meningkat dan meningkatkan bebanan terhadap jantung kita. Anda digalakkan untuk melakukan aktiviti seperti yoga dan meditasi kerana ia dapat membantu menenangkan diri dan mengurangkan stres.

Jom sama-sama amalkan gaya hidup yang lebih sihat. Jaga jantung anda.

 

 

 

 

oleh Eskayvie MalaysiaMore From Author
-->