Adakah Pesakit Kencing Manis Boleh Sembuh? Ini Jawapannya

-
0

Malaysia bukan sahaja mempunyai peratus rakyat obes yang tinggi, malah mempunyai purata pesakit Diabetes tertinggi di Asia. 

Tidak hairanlah jika kita lihat obesiti merupakan antara faktor risiko yang menyebabkan masalah kencing manis. Namun, persoalannya masihkah ada peluang untuk pesakit kencing manis ini sembuh? 

Penyakit kencing manis sering dikaitkan dengan pengambilan ubat seumur hidup. Ikuti artikel ini untuk penjelasan selanjutnya.

 

Diabetes Jenis 1 VS Diabetes Jenis 2

Walaupun kedua-duanya mempunyai nama penyakit yang sama, namun ia mempunyai punca yang berbeza.

Diabetes Jenis 1 sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Keadaan ini disebabkan oleh kemusnahan sel beta di dalam pankreas menyebabkan ia tidak mampu menghasilkan insulin.

Diabetes Jenis 2 pula dikaitkan dengan faktor keturunan dan gaya hidup yang tidak sihat. Antara faktor yang meningkatkan risiko anda mendapat kencing manis jenis ini adalah,

  • Mempunyai berat badan berlebihan
  • Hidup yang tidak aktif
  • Berusia 45 tahun dan ke atas
  • Mempunyai sejarah Diabetes ketika kehamilan
  • Mempunyai masalah kesihatan seperti jantung, darah tinggi dan tinggi kolesterol

Hampir 90-95% pesakit Diabetes di Malaysia mempunyai Diabetes Jenis 2.

Ia berpunca daripada masalah rintangan insulin di mana sensitiviti insulin terhadap sel badan mula berkurang. 

Keadaan ini menyebabkan organ pankreas akan dikerah untuk menghasilkan lebih banyak insulin supaya paras gula darah dapat diturunkan.

Jika dibiarkan berterusan, organ pankreas akan mula penat, menyebabkan penghasilan insulin akan mula berkurang dari hari ke hari.

Artikel ini akan lebih menfokuskan rawatan masalah Diabetes Jenis 2. Diabetes Jenis 1 tidak dapat disembuhkan hanya dengan perubahan gaya hidup. 

Namun, ia boleh dikawal dengan suntikan insulin dan penjagaan gaya hidup yang sihat.

Bolehkah Penyakit Diabetes Jenis 2 Sembuh?

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada tahun 2019 terdapat kira-kira 3.6 juta penghidap kencing manis di Malaysia.

Perkara ini amat membimbangkan memandangkan anggaran jumlah pesakit pada tahun 2025 boleh mencecah kira-kira 7 juta jika ia tidak dibendung. 

Penyebabnya? Gaya hidup moden yang tidak aktif dan amalan pemakanan yang tidak sihat. Persoalannya di sini, adakah pesakit kencing manis boleh sembuh?

Terdapat pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi keberkesanan rawatan mereka yang menghidap kencing manis.

Jadi, jika seseorang itu bertanyakan kepada anda, adakah pesakit kencing manis boleh sembuh? Jawapannya ya, dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Kajian Pritikin Landmark yang diterbitkan dalam England Journal Medicine pada tahun 2002 jelas membuktikan perubahan gaya hidup memainkan peranan penting dalam menyembuhkan Diabetes Jenis 2. 

Kajian ini melibatkan 3234 pesakit Pre-Diabetes yang mempunyai purata umur sekitar 51 tahun. Ia membahagikan peserta kepada 3 kumpulan iaitu 

  • Kumpulan A: Mengubah gaya hidup
  • Kumpulan B: Mengambil ubat metformin
  • Kumpulan C: Tanpa perubahan 

Hasilnya, 58% dari Kumpulan A berjaya mengurangkan risiko mendapat Diabetes Jenis 2 berbanding 31% dari Kumpulan B. 

Ini menunjukkan perubahan gaya hidup adalah lebih efektif berbanding hanya bergantung kepada pengambilan ubat kimia.

Tips Khas Buat Pesakit Diabetes Jenis 2

Turunkan berat badan

Penurunan berat badan merupakan satu langkah yang berkesan untuk mengawal masalah kencing manis. Masalah berat badan berlebihan dan obesiti merupakan punca terjadinya penyakit ini.

Dengan mengamalkan makanan seimbang dan melakukan aktiviti fizikal secara istiqomah, ia membantu anda menurunkan berat badan dengan lebih efektif.

Saranan terkini adalah dengan menurunkan berat badan sekitar 7-10% peratus daripada berat badan asal, terutamanya bagi individu yang obes. 

Bersenam secara istiqomah

Bersenam membantu melancarkan aliran darah dan meningkatkan sensitiviti insulin terhadap sel badan. 

Secara amnya, senaman ringan seperti berbasikal statik dan berjalan kaki selamat dilakukan bagi mereka yang menghidap Diabetes.

Aktiviti ini disarankan dilakukan 5 kali seminggu atau sekurang-kurangnya 150 minit seminggu. Senaman menguatkan otot seperti push-up, angkat berat dan berkebun juga digalakkan.

Makan ikut portion yang betul

Bagi pesakit Diabetes, ramai di antara mereka berpendapat bahawa kencing manis menyebabkan keinginan menikmati makanan enak terbantut. 

Namun, tanggapan ini adalah salah kerana mereka masih boleh menikmati makanan yang diinginkan dengan cara yang lebih sihat dan selamat berdasarkan sedikit penyesuaian.

Antara yang dititikberatkan adalah jumlah portion yang digunakan dalam pengambilan makanan seharian. 

Tips yang mudah diikuti adalah dengan menggunakan formula segenggam karbohidrat, segenggam protein dan dua tapak tangan sayur.

Pengambilan makanan berserat seperti sayur-sayuran amat digalakkan kerana ia membantu anda kenyang lebih lama, menstabilkan bacaan gula dan menurunkan berat badan. 

Pengambilan air kosong secukupnya amat disyorkan. Pilihan minuman seperti air teh atau kopi tanpa gula juga dibolehkan untuk membantu kawalan gula yang lebih baik.

Kawal stres atau tangani sebaik mungkin

Stres diperlukan oleh badan. Namun, stres yang berlebihan boleh memudaratkan.

Ia juga didapati dapat menganggu kawalan gula darah dan dikaitkan peningkatan risiko pengambilan makanan secara kerap.

Dapatkan tidur yang mencukupi

Manusia memerlukan tidur yang cukup untuk kesihatan mental dan fizikal tubuh badan. Tidur yang mencukupi adalah di antara 7 hingga 8 jam sehari.

Kajian mendapati tidur yang tidak cukup boleh meningkatkan masalah rintangan insulin yang merupakan punca utama Diabetes Jenis 2. 

Bermanfaat? Kongsikan pada yang tersayang.

Ingin baca lagi tips kesihatan dari kami? Anda boleh klik disini.

oleh Eskayvie MalaysiaMore From Author
-->