“Doktor, ibu dan ayah saya dua-dua ada diabetes. Saya pun jenis suka makanan manis. Adakah saya akan mewarisi penyakit ni juga?”
Soalan ini kerap sekali ditanya tetapi ia bukan satu soalan yang mudah dijawab dengan hanya “ya” atau “tidak”. Ia memerlukan kita faham kaitan antara genetik, gaya hidup, dan peranan pencegahan dalam penyakit kronik seperti diabetes.
1. Diabetes: Penyakit Genetik atau Gaya Hidup?
Fakta penting yang perlu difahami: genetik memainkan peranan, tetapi bukan penentu utama. Jika ibu bapa anda menghidap diabetes, risiko anda memang meningkat. Namun, ia bukan satu hukuman yang pasti – sebaliknya satu isyarat amaran untuk anda lebih berhati-hati.
- Salah seorang ibu atau bapa terkena kencing manis > 50 tahun, risiko anda adalah 8%
- Salah seorang ibu atau bapa terkena kencing manis < 50 tahun, risiko anda adalah 15%
- Ibu dan bapa mempunyai kencing manis, risiko anda adalah 50%
Tapi genetik hanyalah satu bahagian daripada cerita.
Apa yang Lebih Menentukan: Genetik atau Gaya Hidup?
Bayangkan ini: Dua individu, A dan B, kedua-duanya ada sejarah keluarga dengan diabetes.
- Individu A: Aktif bersenam, jaga pemakanan, berat badan ideal.
- Individu B: Kurang aktif, gemar makanan bergula, berat badan berlebihan.
- Statistik menunjukkan, Individu A mungkin tidak akan menghidap diabetes walaupun ada genetik. Tetapi Individu B sangat berisiko tinggi.
Kenapa?
Kerana genetik adalah ibarat mancis, tetapi gaya hidup yang mencetuskan api. Ini yang kita sebut sebagai “genetic predisposition” dan “epigenetic triggers”.
BACA LAGI : KERAP DEMAM DAN SELESEMA? JAGA ANTIBODI ANDA
Tanda-tanda Awal Anda Mungkin Menuju Ke Arah Diabetes
Pernah rasa simptom seperti ini?
- Cepat letih walaupun tidur cukup
- Kerap dahaga atau lapar
- Berat badan turun tanpa sebab
- Kerap kencing, terutamanya waktu malam

Ini mungkin petanda awal pra-diabetes – satu fasa di mana tahap gula dalam darah lebih tinggi dari normal, tetapi belum cukup tinggi untuk digelar diabetes.
Menurut National Health & Morbidity Survey (NHMS) 2023, 2 daripada 5 dewasa yang menghidapi kencing manis tidak tahu mereka sebenarnya adalah pengidap kencing manis sehinggalah terpaksa mendapat rawatan di hospital akibat komplikasi-komplikasi kencing manis.
Saringan Awal: Kunci Mencegah Generasi Diabetes
Jika anda:
- Berumur 30 tahun ke atas
- Mempunyai sejarah keluarga dengan diabetes
- Berat badan berlebihan
- Gaya hidup sedentari
- Mempunyai tekanan darah tinggi atau kolesterol tinggi
Anda sangat disarankan untuk melakukan ujian darah HbA1c atau FBS (Fasting Blood Sugar). Ini bukan sahaja untuk pengesahan, tetapi sebagai “cermin kesihatan” anda.
Langkah pertama ke arah pencegahan adalah kesedaran. Langkah kedua adalah tindakan.

Cipta Keluarga Yang Hidup Bahagia Tanpa Diabetes
Ramai yang mewarisi gaya hidup yang menyebabkan diabetes, bukan sekadar genetik. Kita membesar melihat ibu bapa kita makan, bergerak, dan mengurus stres dengan cara tertentu – dan kita pun ikut cara yang sama tanpa sedar.
Dengan kesedaran, pendidikan dan tindakan, anda bukan sahaja boleh mengelakkan diri daripada mewarisi penyakit, malah boleh mencipta keluarga yang dapat hidup bahagia tanpa diabetes.
Jadi…Adakah Anda Calon Seterusnya?
Jawapannya… terpulang pada anda.
Anda tidak boleh mengubah genetik anda. Tapi anda boleh ubah gaya hidup dan tabiat harian anda
Mulakan hari ini dengan:
- Mengetahui tahap kesihatan anda
- Meningkatkan gaya hidup sihat
- Menyokong tubuh anda dengan nutrien yang betul
- Menjadi inspirasi untuk keluarga anda
Langkah kecil yang anda ambil hari ini akan membuahkan hasil yang lebih besar dan bermakna pada masa hadapan.
BACA LAGI : TANDA-TANDA KENCING MANIS BERLAKU WALAUPUN ANDA SIHAT