7 Tips Mudah Untuk Penghidap Diabetes Kekal Berpuasa

Umat Islam diwajibkan untuk berpuasa di antara terbit matahari hingga terbenam matahari di bulan Ramadhan. Mereka yang menghidap Diabetes juga digalakkan berpuasa dengan cara yang selamat.

Apa yang perlu dilakukan oleh penghidap Diabetes sebelum, semasa dan selepas berbuka? Baca artikel di bawah sebagai panduan penghidap Diabetes ketika berpuasa.

 

1. Pengubahsuaian dos ubat & insulin

Penghidap Diabetes yang mengambil suntikan insulin perlu memaklumkan kepada doktor yang merawat keinginan mereka untuk berpuasa bagi merangka persediaan yang perlu diambil sebelum berpuasa.

Ini termasuklah pengubahsuaian dos ubat dan masa pengambilannya, cara mengawasi hipoglisemia dan tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku hipoglisemia serta amalan diet seimbang.

 

2. Jangan tinggal waktu sahur

Lewatkan waktu bersahur untuk mengurangkan risiko hipoglisemia. Pilih makanan jenis karbohidat kompleks seperti nasi, roti, gandum dan kekacang supaya mendapat bekalan tenaga yang mencukupi. Jangan lupa minum air yang cukup.

3. Bersedia untuk berbuka jika alami hipoglisemia

Hipoglisemia adalah keadaan dimana paras gula dalam darah lebih rendah daripada normal kurang daripada 3.9mmol/L. Keadaan ini boleh mendatangkan kemudaratan jika pesakit masih ingin meneruskan puasanya.

Antara tanda-tanda hipoglisemia yang perlu diketahui oleh pesakit ialah pening, berpeluh dingin, berasa lapar, tubuh menggeletar, berasa keliru, gangguan emosi dan mengantuk. Hipoglisemia yang lebih serius boleh menyebabkan koma dan akhirnya kematian.

Keadaan hipoglisemia ini kerap berlaku dalam kalangan penghidap Diabetes pada waktu lewat petang sebelum masuk waktu berbuka puasa. Risiko mengalami hipoglisemia adalah lebih tinggi sekiranya pesakit menggunakan suntikan insulin.

Sekiranya mengalami tanda-tanda hipoglisemia, minum ½ cawan air manis atau hisap 3 biji gula-gula atau 3 sudu teh gula/madu. Kemudian, rehat 10 hingga 15 minit. Jika paras gula darah tidak kembali paras normal, sila ulangi langkah tersebut sekali lagi sehingga bacaan menjadi normal.

4. Cek gula darah secara berkala

Sepanjang bulan Ramadan, ujian paras gula boleh dilakukan pada waktu seperti, sebelum makan bersahur dan sebelum berbuka puasa, dengan sasaran bacaan melebihi 4.4 mmol/L.

Anda juga boleh melakukan ujian paras gula 2 jam selepas makan bersahur dan selepas berbuka puasa, dengan sasaran bacaan 4.4 – 8.0 mmol/L. Jika bacaan paras gula kurang daripada 3.9 mmol/L selepas 2 jam bersahur, penghidap Diabetes disyorkan untuk berbuka puasa segera.

5. Aktiviti fizikal yang aktif

Anda juga digalakkan untuk mengekalkan aktiviti fizikal seperti biasa, tetapi elakkan melakukan aktiviti berlebihan beberapa jam sebelum berbuka puasa untuk mengelakkan dehidrasi dan hipoglisemia.

Amalan menunaikan solat sunat terawih juga digalakkan sebagai salah satu senaman ringan selepas berbuka puasa.

6. Elak melambatkan waktu berbuka

Memadai waktu berbuka dengan 2 biji kurma dan segelas air kosong terlebih dahulu.

7. Ambil hidangan utama selepas solat maghrib

Amalkan pemakanan yang seimbang. Guna portion “segenggam protein, segenggam karbohidrat & dua tapak tangan sayur”. Pilih masakan seperti sup, stim, rebus berbanding makanan bergoreng. Hadkan pengambilan kuih-kuih dan minuman yang manis dan makanan yang tinggi garam.

Minum air yang cukup terutamanya ketika sahur dan berbuka untuk menggantikan air yang hilang ketika berpuasa. Namun, bagi yang mempunyai had air, patuh had air yang ditetapkan.

Bermanfaat? Kongsikan pada yang tersayang.